MENGENALI ANAK MELALUI TANGISAN DAN GERAK BADAN
Hasil kajian dan pengalaman kami terhadap subjek menunjukkan ramai ibu bapa yang kurang sensitif terhadap tangisan anak. Ramai yang sudah melahir dan membesarkan sehingga 8 orang anak masih tidak mampu mengenali bentuk tangisan anak sendiri. Kami rujuk pula perihal tangisan anak ini kepada fakta quran, sunnah dan sains
Inilah seni dalam memelihara anak yang tidak begitu ditekankan dengan penuh minat oleh para ibu bapa. Akhirnya kesemua anak-anak mereka membesar dalam pemeliharaan yang sebanding dengan haiwan ternak sahaja, atau mudahnya mereka tidak lebih dari menternak anak. Tiada unsur pendidikan yang diterapkan dengan teliti semasa memelihara anak itu.
Terlalu panjang jika ingin kami tuliskan jenis tangisan dan gerak tubuh anak di sini. InsyaAllah akan kami huraikan secara khusus pada siri parenting tips khas nanti. Cukuplah jika kami katakan ada banyak yang perlu diperhatikan terhadap bentuk tangisan dan gerak tubuh bayi ini ketika ia berumur 1-4 bulan, 4 bulan hingga setahun, 1-2 tahun dan seterusnya.
Antara contoh yang kita harus kenali ialah,
• Bagaimana bentuk, intonasi dan nada tangisan? Merengek? menjerit? selang seli? berterusan? Terkawal atau luar kawalan seperti sawan?
• Apakah iringan gerak tubuh waktu menangis? Menggeliat, menggaru kepala, menggosok mata, meronta-ronta?
• Apakah tanda lain atau perubahan pada tubuh mereka semasa bayi menangis? Contohnya kembung, kejang, badan jadi panas, mata jadi merah dan sebagainya.
• Anda juga harus tahu bila terakhir anak anda diberi susu atau makan? Bila terakhir anak anda buang air dan dibersihkan?
• Bila masanya anak anda tumbuh gigi?
• Adakah anda sendiri merasa panas dan rimas sehingga mungkin anak anda juga ikut merasa panas dan tidak selesa?
• Bagaimana mengenal tangisan mengada-ngada? Adakah air mata yang keluar semasa anak menangis?
• dan banyak lagi tanda-tanda.
KESILAPAN MERAWAT TANGISAN BAYI BOLEH MENJADIKAN ANAK DEGIL, LEMAH DAN DUNGU
Inilah yang menjadi penekanan dalam isu yang ingin kami ketengahkan. Hasil kajian kami menunjukkan ramai ibu bapa yang tidak kreatif dalam mengenal tangisan dan gerak tubuh bayi mereka, biarpun sudah ramai melahir dan membesarkan anak.
Sebelum anak mampu berkata-kata dan menggunakan komunikasi melalui kalam, ia belajar melalui alam. Tangisan dan jeritan anak adalah 'Universal Language', satu-satunya cara mereka menyampaikan mesej kepada ibu bapa. Secepat mana kita menyahut seruan atau doa mereka melalui tangisan itulah yang akan mendidik mereka untuk menyahut seruan dan panggilan kita secepat itu juga kemudian nanti. Itulah pendidikan awal yang sangat berbentuk alami bagi mereka. Tindakbalas kita sedang mengajar mereka tanpa kita sedar.
Kami menetapkan di RPWP jika boleh kita didik bayi kita dengan menyahut panggilan mereka melalui tangisan itu dengan kadar segera. Sebaiknya jangan sampai melebihi 10 saat. Rasakanlah kekesalan dan berdosa yang mendalam jika kita tidak dapat hadirkan diri untuk menenangkan anak yang diamanahkan kepada kita itu melebihi 30 saat setelah mendengar tangisannya.
Pada peringkat awal tangisan itu, anak masih dalam keadaan tenang dan sedar. Tangisan hanyalah merupakan bahasa mereka sahaja. Namun apabila anda gagal menghadirkan diri, maka intensiti tangisan itu akan bertambah. Akhirnya anda akan dapati anak anda akan seolah-olah marah kepada anda. Waktu ini minda anak akan jadi bercelaru, sangat beremosi dan penuh dendam. Inilah punca penyakit hati yang mula anda tanamkan ke jiwa mereka tanpa sedar.
Para saintis sepakat merumus bahawa habit membiarkan bayi menangis yang berpanjangan tanpa rawatan akan menyebabkan bayi mengalami berbagai bentuk tekanan (stress). Ini juga menjadi antara punca terhasilnya habitat anak yang dungu, degil, emosional, pemarah dan sebagainya.
Hormon stress yang dipanggil cortisol ini boleh terhasil dan terhimpun di otak bayi. Ia boleh merosak dan membantutkan pembangunan struktur penting otak mereka. Membiarkan anak terus menerus menangis juga akan merosak sistem saraf bayi. Ia boleh menjadikan mereka terlalu sensitif dan mudah mengalami trauma hanya dengan cabaran yang kecil. Ia juga memberi kesan yang besar kepada kemampuan anak untuk menerima maklumat pembelajaran dan berdarah gemuruh (nervous).
Kesan dari segi kesihatan pula akan menjadikan bayi ini anak yang mudah stress. Peningkatan tekanan darah dan nadi akan menyebabkan ketidak-stabilan bekalan oksigen, nutrisi, hormon dan antibodi dalam darah. Ini secara langsung menyebabkan anak menjadi kurang daya tahan dan mudah berpenyakit. Bahkan saintis telah menetapkan bahawa ia boleh memberikan kesan yang berat terhadap penyakit otak yang dipanggil ‘meningitis’. Mungkin ada kes terpencil yang tidak menepati ketetapan ini dan terserah samada kita mahu perjudikan nasib anak kita atau mahu mengikuti ketetapan dan petunjuk yang ada.
KESIMPULAN
Hasil kajian kami menunjukkan sesetengah ibu sengaja membiarkan anak mereka menangis begitu lama. Mungkin mereka sedang masak, membasuh, bergayut di talian atau bermuka buku. Mereka tidak sedar kesan dan bahaya yang terlalu parah dari segi kesihatan rohani dan jasmani yang bersifat kekal pada anak itu. SANG SUAMI yang sedar akan keadaan itu juga seperti tidak merasa bimbang dan tidak menegur isteri untuk berbuat sewajarnya terhadap anak mereka.
Nabi s.a.w. telah menyarankan, “belajarlah dari buaian sampai ke liang lahad”. Kelalaian kita menangani panggilan dan seruan bayi melalui tangisan mereka itu telah mengajar anak menjadi orang yang juga tidak bersegera apabila dipanggil, jadi bodoh, pemberontak dan degil. Sebaliknya, kita pula yang terpaksa mengikuti kehendak anak sebegini apabila ia besar nanti.
Demikianlah juga bagaimana Isa a.s. selaku nabi yang hebat telah dikisahkan mampu berbicara sejak dalam buaian lagi. Malangnya kita sebagai ibu bapa Islam ini tidak ada ilmu pengetahuan dalam mengenal bahasa universal anak itu lalu ianya berlalu menjadi satu pembaziran yang amat merugikan anak kita. Apa yang kita selalu rungutkan ialah tangisan itu memberi kesan negetif terhadap persekitaran, terhadap emosi jiran dan ibu bapa yang menjadi stress akibat tangisan anak. Kita tidak langsung fikir kesan negatif terhadap anak itu sendiri.
Ironinya, ibu yang jahil ini tidak mendapat pendidikan dan pembetulan yang penuh siyyasah dari para suami kerana mereka selaku abal hakam dalam keluarga juga jahil. Ramai suami yang membiarkan sahaja sang isteri berkelakuan yang ‘tidak wajar sebagai isteri’ tanpa teguran. Akhirnya isteri membentuk tabiat liar dan lagho. Isteri begini kemudiannya melakukan perkara yang sama terhadap anak, iaitu tidak sensitif dengan seruan bayinya. Isteri akhirnya terkontang-kanting mengendalikan segalanya dalam penuh kebingungan dan kesukaran. Maka terhasillah generasi anak-anak yang liar dan berkeliaran.
Kami ada terlalu banyak bukti. Anak-anak darjah 3-5 masih tidak kenal huruf, tidak pandai berbicara dan mengurus diri. Anak tingkatan 1- 4, yang baru kematian ayah setahun lalu tapi menjadi begitu dan begini. Sebenarnya semua itu sudah lama berlaku, semasa si ayah masih ada. Inilah hakikat anak yang yatim sebelum yatimnya. Oleh itu, mari kita pelihara anak kita dengan teliti, penuh minat dan kasih sayang seperti keluarga manusia. Jangan biarkan anak kita membesar sepertimana haiwan yang diternak untuk diherdik setelah kita tiada.
Sharing Is Caring
SUMBER..
No comments:
Post a Comment